Lakaran artis menunjukkan planet Gliese 581g. LOS ANGELES :Lima
pakar astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui sebuah planet baru
dikenali sebagai Gliese 581g yang kelihatan seperti Bumi, lapor
beberapa buah akhbar semalam. Planet itu terletak di satu
kawasan yang dirujuk sebagai zon kehidupan kerana suhunya tidak terlalu
panas atau sejuk bagi cecair membentuk lautan, sungai dan tasik serta
berada pada jarak 20 tahun cahaya dari Bumi. Planet itu mengelilingi
satu bintang yang yang dianggap seperti matahari. Bintang itu
diberi nama Gliese 581. Planet itu berpusing mengelilingi bintang itu
setiap 37 hari untuk satu putaran penuh. Ia didapati tiga kali besar
daripada Bumi namun berada dekat dengan bintang itu pada jarak 22.5 juta
kilometer. Planet yang digelar sebagai 'Bumi Baru' itu mempunyai satu
bahagian yang sentiasa siang manakala bahagian yang bertentangan selalu
malam kerana ia tidak banyak berputar. Kumpulan pakar itu
tidak dapat mengesahkan sama ada wujud air di planet tersebut. Namun,
salah seorang pakar astronomi, Dr. Steven Vogt dari Universiti
California di Santa Cruz yang mengetuai kajian itu percaya terdapat
peluang kehidupan di planet tersebut. Graviti di planet itu sama seperti
Bumi sekali gus membolehkan seorang manusia berjalan tanpa menghadapi
sebarang kesukaran.
Menurut Dr. Vogt, bintang yang menjadi
matahari di planet itu berada pada kedudukan sama pada setiap masa.
Sebuah kapal angkasa yang mempunyai kelajuan hampir dengan cahaya
memerlukan masa 20 tahun untuk tiba di planet itu. Penemuan itu dibuat
selepas 11 tahun pemerhatian dijalankan di Balai Cerap W. M. Kec di
Hawaii. - Agensi
|