Setiap negara pasti mengharapkan untuk
mempunyai rakyat yang mampu menyumbang ke arah kemajuan, kejayaan dan
keamanan. Semua itu hanya dapat dicapai dan diperolehi jika rakyat
negara itu mempunyai sahsiah dan jati diri yang unggul serta cemerlang;
sama ada melalui generasi muda belia atau pun generasi tua.
Kementerian Belia dan Sukan mentakrifkan
belia sebagai golongan muda yang berumur antara 15 hingga 40 tahun, dan
ia selaras dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB). Manakala Islam pula mentakrifkan belia sebagai satu fasa
umur alam baligh yang menerima tanggungjawab (taklif) atas setiap
perbuatan yang dilakukan. Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah golongan
belia di negara ini pada tahun 2008 mencecah seramai 16 juta orang.
Angka ini memberi gambaran bahwa negara akan menghadapi cabaran hebat
dalam aspek pembinaan dan pengurusan belia di masa hadapan.
Sekadar gambar hiasan.
Belia adalah harta yang amat berharga
serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Mereka juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan. Justeru itu
adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan
yang benar dan diredhai Allah s.w.t. sehingga mampu menjadi generasi
yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu,
beramal dan berakhlak mulia. Inilah yang menjadi cita-cita negara kita
untuk mempunyai belia yang berkualiti sebagaimana yang diharapkan
melalui tema sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini iaitu Belia
Berwawasan Penggerak Kejayaan.
Persoalan besar timbul ialah ke manakah
hilangnya wawasan belia hari ini? Saban hari kita masih mendengar
berita-berita yang tidak baik tentang segelintir belia, dan hanya
beberapa cebis kisah kejayaan dan kecemerlangan yang telah diraih oleh
mereka. Kes-kes salah laku jenayah sivil, jenayah syariah, masalah
disiplin dan adab sering dikaitkan dengan belia. Hal ini tentunya
mengundang rasa rungsing dan gusar di kalangan ibu bapa, masyarakat dan
pemimpin negara. Justeru Rasulullah s.a.w. berpesan kepada semua
golongan belia agar dapat memanfaatkan umur dan masa muda dengan
sebaik-baiknya.
Antara faktor yang dikenalpasti sebagai
punca berlaku penyelewengan akidah dan berkembangnya gejala sosial
adalah kurang didikan dan penghayatan agama di kalangan belia akibat
pengaruh persekitaran. Apa yang penting, belia hendaklah mengisi diri
dengan ilmu agama dan pelbagai ilmu serta kemahiran hidup di samping
berusaha menjadikan diri sebagai hamba yang soleh, generasi yang
berkualiti, umat yang cemerlang berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. -Source : Jazmanie
|