KUALA LUMPUR, 31 Okt:
Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa hari ini sempena
kejayaan pasukan bola sepak The Red Warriors menjulang Piala Malaysia
edisi ke 84 malam tadi.
Pengumuman dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan,
Datuk Ahmad Yaakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini selepas
menyaksikan sendiri detik gemilang Kelantan menewaskan Negeri Sembilan
2-1.
"Saya
mewakili Menteri Besar Kelantan, mengumumkan esok cuti peristiwa supaya
rakyat dapat tenang, gembira, bersyukur dan dapat balik ke Kelantan
dengan selamat.
"Kita juga ucap terima kasih kepada semua yang memberi
kejayaan kepada Kelantan khususnya kepada Presiden Kafa dan rakyat
Kelantan," katanya.
Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada
Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga
Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun
sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika
piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.
Negeri Sembilan
memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang
disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.
Manakala Kelantan
memperoleh gol penyamaan hanya pada separuh masa kedua apabila hantaran
luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Ketua Pasukan, Indra
Putra Mahayuddin yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada
minit ke-57.
Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil
hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.
Kedudukan kekal 2-1
sehingga wisel penamat, mengembirakan sekurang-kurangnya 60,000
penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.
Sementara itu, Menteri
Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji akan
memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke
saingan peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini. -Hrkh