Pastinya sudah banyak cerita dan kisah yang kita sudah dengar mengenai kes-kes pelik yang berlaku sepanjang mengerjakan ibadat haji atau umrah dan ziarah sama ada melalui bahan pembacaan mahupun cerita dari mulut ke mulut. Artikel kali ini saya ingin kongsikan cerita ringkas mengenai ‘akibat mulut celupar’ yang baru sahaja saya dengar semasa menghantar ibu di KLIA semalam.
Semasa sesi taklimat kepada jemaah umrah dan ziarah semalam, salah seorang ustaz yang menguruskan jemaah dalam sesi taklimat telah menasihatkan para jemaah supaya bersabar dengan apa sahaja dugaan dan cabaran yang dilalui sepanjang mengerjakan ibadat umrah dan ziarah nanti.
Ustaz tersebut juga sempat bercerita kes terbaru yang berlaku kepada salah seorang jemaah untuk dijadikan contoh dan tauladan kepada jemaah yang lain. Katanya lagi cuaca di tanah suci mekah sekarang ni memang agak panas dan lebih panas dari cuaca di malaysia ini.
Ustaz menasihatkan para jemaah supaya kurangkan merungut dengan hal-hal sedemikian, kerana mengikutnya sebelum ini ada seorang jemaah yang suka merungut dan tidak tahan dengan keadaan cuaca yang panas di tanah suci mekah pada ketika ini.
Bukan setakat merungut, jemaah tersebut juga minta supaya ditukarkan hotel yang lebih sejuk dan selesa. Walaupun sudah dua kali bertukar hotel namun dia masih juga merungut dengan keadaan panas tersebut.
Mungkin kerana berasa tertekan dengan kepanasan, dia juga sering memarahi pihak syarikat yang menguruskan umrah dan ziarahnya dan sampai satu tahap dia dengan penuh emosi dan perasaan telah mengatakan bahawa kalau macam tu punya keadaan panas, lebih baik dia tidak datang ke mekah.
Selang beberapa ketika dia berkata demikian, tiba-tiba dia jatuh rebah dan tidak sedarkan diri, doktor sudah memeriksa keadaannya namun tidak menemui sebarang komplikasi penyakit tertentu namun dia sehingga sekarang masih belum sedarkan diri sedangkan para jemaah lain serombongan dengannya sedang bersiap untuk pulang ke tanah air.
Oleh yang demikian, ustaz berkenaan menasihatkan para jemaah supaya sentiasa tenang dan mengawal diri dan emosi sepanjang menjadi tetamu Allah di bulan ramadan yang penuh keberkatan ini.
- By Jazmanie